Merapatkan Jurang Digital Masyarakat Pedalaman Kapit

A Promising Future in Kampung Beliong’s Agriculture Sector
December 13, 2020
Perpustakaan Bergerak Sedia Perkhidmatan Ke 189 Buah Sekolah Rendah
March 4, 2021


Seramai kira-kira 1,300 orang penduduk di Long Busang dalam Daerah Belaga, Kapit kini dapat menikmati perkhidmatan Internet melalui kemudahan Wi-Fi.

Kemudahan Wi-Fi tersebut yang dipasang dengan kaedah VSAT (Very Small Aperture Terminal) merupakan projek uji cuba dan inisiatif daripada Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dalam usaha kerajaan menghubungkan penduduk pedalaman dengan dunia luar melalui perkhidmatan Internet.
Dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Program Merapatkan Jurang Digital Masyarakat Pedalaman, projek berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada 27 April 2019.
Beberapa penduduk yang sempat ditemuramah ternyata gembira dengan kemudahan wifi yang disediakan di kampung mereka.
Charoline Diana anak Lawai yang ditemui berpendapat, kemudahan Internet amat penting kerana dapat Merapatkan Jurang Digital Masyarakat Pedalaman Kapit menghubungkan yang dekat dengan yang jauh. Tambah beliau, lokasi Long Busang yang jauh di pedalaman memerlukan sambungan Internet ataupun talian telekomunikasi supaya penduduk dapat berhubung dengan saudara mara dan rakan-rakan di bandar serta di serata dunia.
Kalau kampung kami dibekalkan dengan kemudahan Wi-Fi dan telekomunikasi, mudah untuk kami berhubung dengan saudara-mara yang ada di bandar Kapit mahupun di serata tempat di seluruh dunia.
Menurut Charoline, banyak manfaat dapat diperolehi melalui Internet, antaranya adalah memudahkan lepasan sekolah, khususnya di Long Busang menyemak keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), memudahkan mereka yang ingin mencari pekerjaan dan mampu menambah pendapatan bagi mereka yang ingin menjalankan perniagaan atas talian.
Charoline yang merupakan seorang suri rumah berkelulusan ijazah seni tarian juga pernah menjalankan perniagaan atas talian dan berhasrat untuk menjalankan semula perniagaan tersebut. Beliau juga berharap supaya kemudahan Wi-Fi yang disediakan akan dimanfaatkan sebaiknya oleh penduduk Long Busang.
Maidatol binti Harun berpandangan bahawa kemudahan Internet dan telekomunikasi amat penting kerana dapat menghubungkan semua orang.
“Dengan adanya kemudahan Internet, ia memudahkan pelajar lepasan sekolah seperti saya menyemak keputusan SPM selain memudahkan pencarian pekerjaan dan menjalankan perniagaan atas talian.”
Selain itu menurut Maidatol, kemudahan Internet dan telekomunikasi juga penting terutama apabila berlaku kecemasan.
Menurut seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam, Vicktoria anak Ejau, kemudahan Internet sangat memberikan banyak manfaat.
Salah satu daripadanya adalah, memudahkan pelajar seperti beliau mendapatkan maklumat dan perkembangan serta segala kemaskini yang dilakukan oleh pihak kolej.
“Dengan kemudahan Internet, mudah untuk saya mendapatkan segala maklumat dan kemaskini berkaitan akademik dan hal ehwal pelajar daripada pihak kolej,” ujarnya.
Beliau yang sedang menuntut di Politeknik Mukah dalam bidang pengurusan perniagaan juga berpendapat bahawa kepesatan teknologi global sekarang memerlukan setiap kawasan dan komuniti dihubungkan dengan Internet supaya dapat mengikuti perkembangan yang berlaku di seluruh dunia.
 
IMG_6854-1080
 
RAKAN Sarawak turut mendapatkan pandangan daripada warga emas Kampung Long Busang mengenai penyediaan infrastruktur asas yang lain selain daripada kemudahan telekomunikasi.
Menurut seorang petani, Encik Bangu anak Along, selain kemudahan Internet dan telekomunikasi, beliau berharap supaya infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik juga akan dipertingkatkan di Long Busang.
“Selain kemudahan telekomunikasi, kami di sini amat memerlukan kemudahan jalan raya supaya mudah untuk kami ke pusat bandar Kapit, seterusnya ke kawasan-kawasan lain,” ujarnya.
Encik Bangu amat menyambut baik inisiatif kerajaan dalam menyediakan kemudahan Wi-Fi untuk kegunaan penduduk Long Busang dan berharap supaya kemudahan telekomunikasi telefon mudah alih juga akan turut dipertingkatkan.
Sebelum kemudahan Wi-Fi tersebut dilancarkan, hanya Sekolah Kebangsaan Long Busang sahaja yang disediakan dengan kemudahan wifi 24 jam untuk kegunaan pihak sekolah dan murid-murid.
Kemudahan Wi-Fi yang disediakan di Long Busang adalah bukti bahawa Kerajaan Sarawak amat serius untuk mentransformasi ekonomi negeri ini kepada ekonomi digital.
Dengan adanya sambungan Internet, penduduk bukan sahaja dapat berhubung dengan dunia luar, malah dapat mempromosikan budaya dan produk-produk kraftangan yang terdapat di Long Busang seterusnya dapat meningkatkan sosio-ekonomi mereka.